4 sekolah di utara Thailand dibakar disyaki protes penggulingan Thaksin
BANGKOK 27 Sept. – Empat buah sekolah dibakar di utara Thailand awal hari ini dalam tindakan yang dipercayai sebagai protes terhadap para pemimpin tentera yang menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra minggu lepas.
Polis dan tentera sedang menyiasat insiden di wilayah Kamphaengphet itu yang terletak kira-kira 310 kilometer ke utara Bangkok dan menjadi kubu kuat Thaksin.
“Tentera telah menghantar satu pasukan untuk menyiasat insiden tersebut dan tidak menolak kemungkinan perbuatan itu dilakukan oleh golongan yang kehilangan kuasa bagi melahirkan kemarahan mereka,” kata jurucakap tentera, Kolonel Banyong Sirasunthorn.
Salah sebuah sekolah itu musnah sama sekali, manakala tiga yang lain rosak, ujar beliau.
Seorang pegawai tentera di kawasan kejadian menyatakan, beliau mengesyaki perbuatan itu didalangi oleh ahli-ahli politik tempatan yang menjalin hubungan rapat dengan tokoh politik di peringkat kebangsaan.
Sebuah majlis tentera menggulingkan Thaksin dalam rampasan kuasa tidak berdarah pada 19 September lalu.
Rampasan kuasa itu dikecam oleh masyarakat antarabangsa tetapi di Thailand hanya beberapa protes di sana sini dilancarkan oleh aktivis prodemokrasi.
Banyong percaya, penyerang terbabit mungkin membantah penutupan kira-kira 400 stesen radio komuniti yang kebanyakannya telah digunakan sebagai lidah rasmi kerajaan Thaksin.
Penutupan stesen radio itu dibuat atas arahan salah seorang pemimpin junta, Leftenan Jeneral Saprang Kanlayanimatr.
Beliau juga mengarahkan beberapa bekas anggota Parlimen dan ahli politik daripada Parti Thai Rak Thai (TRT) pimpinan Thaksin supaya melapor diri kepadanya selepas rampasan kuasa itu.
Sementara itu, junta tentera Thailand menyatakan mereka akan mengumumkan nama Perdana Menteri baru, Ahad ini.
Pemimpin rampasan kuasa, Jeneral Sonthi Boonyaratglin akan menghadap Raja Bhumibol Adulyadej untuk mengemukakan draf perlembagaan baru pada Sabtu ini, kata seorang jurucakap junta, Mejar Jeneral Thawip Netniyom hari ini.
“Nama Perdana Menteri baru akan diumumkan sehari kemudian,” kata Thawip dengan menambah, keputusan mengenai Perdana Menteri itu belum dibuat.
Seorang bekas jeneral yang popular dan seorang bekas Ketua Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) muncul sebagai calon pilihan untuk menggantikan Thaksin Shinawatra sebagai Perdana Menteri.
Melantik seorang Perdana Menteri baru dalam masa seminggu adalah antara janji utama yang dibuat oleh Sonthi dan jeneralnya kepada rakyat Thai selepas rampasan kuasa 19 September lalu, ketika Thaksin berada di New York.
Akhbar Thai hari ini hangat menyiarkan spekulasi bahawa bekas jeneral, Surayud Chulanont mungkin menjadi Perdana Menteri baru selepas Sonthi berkata, bekas pegawai tentera akan dipertimbangkan untuk jawatan itu.
Sonthi semalam menyatakan sudah ‘75 peratus disahkan’ siapa yang akan dilantik.
Bekas Ketua WTO, Supachai Panithpakdi turut dilihat sebagai calon utama untuk menggantikan Thaksin.
“Tiada komen,” jawab Supachai apabila ditanya oleh wartawan di Geneva mengenai peluangnya untuk menjadi Perdana Menteri.
You are here: Home > 4 sekolah di utara Thailand dibakar
Thursday, September 28, 2006
4 sekolah di utara Thailand dibakar
(For full text with comments please click on the title)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Blogger
0 comments:
Post a Comment